Tuesday, March 30, 2010

Teori Bawang.

Bawang? Apa kena mengena dengan bawang ni? Bawang selalu orang guna bila nak masak jer? Tak pun buat ayaq asam? Kalau tambah bawang sedap ooo? Itu luahan seorang sahabat apabila ditanya mengenai bawang. Namun, sedar atau tidak bahawa teori bawang merupakan teori yang begitu popular apabila kita bercakap mengenai penembusan sesuatu hubungan yang mempunyai banyak lapisannya.

Sebelum becerita dengan lebih lanjut, apa kata kalau kita melihat definisi bawang dalam istilah kamus. Menurut DBP, bawang merupakan tumbuhan berumbi
berlapis-lapis bulat spt mentol serta berbau tajam dan berasa pedar (digunakan dlm pelbagai makanan). Bawang juga berbau kuat. Apa kena mengena bawang dengan teori?. Apa pula teori penembusan? 



teori penembusan=teori bawang. 


Teori bawang atau teori penembusan sebenarnya telah diperkenalkan oleh Irwin Altman & Dalmas Taylor(1973). Mereka menjelaskan bahawa proses komunikasi interpersonal bertujuan untuk berkongsi maklumat diantara seseorang. Teori yang diutarakan oleh mereka mengatakan bahawa konsep utamanya ialah personaliti diri seperti bawang besar yang mempunyai lapisan luar atau kulit yang nipis dan diikuti dengan lapisan-lapisan lain yang semakin ke dalam semakin kuat dan padat.Ini bermakna semakin lama kita berkenalan atau melakukan komunikasi interpersonal maka semakin kita mengetahui isi hati kenalan kita itu. (Che Su Mustafa,Syd Abdul Rahman Syd Zin,Mohd Khairie Ahmad,Sharina Samsuddin,Norizah Aripin,Zuraidah Abu Talib, 2003).

Ini bermaksud semakin lama kita kenal seseorang itu maka komunikasi akan menjadi bertambah peribadi. Kita akan tahu kegemarannnya, apa yang disukainya, apa yang dicitakannya, kebaikan atau keburukannya. Selalunya pekara luaran lebih cepat ditembusi seperti minat seseorang (cth: selepas beberapa hari dinul mengenali ammar, beliau merasakan ammar merupakan peminat tegar Manchester United kerana ammar sering berbicara mengenai kelab tersebut berbanding kelab bola sepak yang lain). Selepas itu berlakunya pendedahan diri seperti cita-cita beliau, kelemahan dan kebaikan beliau dan seumpamanya. Tembusan selalunya berlaku dengan pantas pada awal perkenalan kita tetapi akan menjadi lambat apabila sampai kelapisan yang lebih tengah seperti kisah-kisah peribadinya yang tidak diketahui umum. Proses terakhir yang bakal berlaku adalah kebalikan tembusan yang merupakan proses menarik diri daripada satu lapisan ke satu lapisan seperti yang dilalui pada peringkat tembusan(Che Su Mustafa et al, 2003). Pada masa ini, rakan anda mungkin tidak bertegur sapa bila bertembung anda dijalanan. Apa yang kita perlu faham mengenai teori bawang adalah penembusan berlaku sangat pantas pada peringkat permulaan tetapi menjadi perlahan dan sukar untuk ditembusi pada lapisan tengah. Ini bermakna wujud hubungan/relationship pada awal peringkat perkenalan kemudian timbul kepuasan/satisfaction hubungan dan seterusnya timbul kestabilan dalam sesebuah hubungan yang dibina.

Jadi, adakah anda dapat memahaminya?.Apa yang pasti, semakin lama mengenali seseorang itu maka semakin banyak yang anda tahu mengenainya iaitu seperti kebaikannya, keburukannya dan banyak lagi. Sudah pasti selepas ini sahabat atau pasangan anda akan lebih berhati-hati kerana anda sudah pakar dalam menembusi dan memahami teori yang cukup popular ini. 

Diharapkan anda akan mendapat sesuatu mengenai teori ini.



Reference:
Modul PJJ/UUM: Teori Komunikasi 


Ammar Afandi