Kebelakangan ini banyak isu timbul baik dari segi politik, ekonomi, sosial mahupun dalam bidang akademik itu sendiri. Ada isu-isu yang berbangkit mendapat banyak reaksi dari media cetak mahupun media sosial. Tetapi yang menarik reaksi yang diterima sudah pasti datangnya dari media sosial kerana umum tahu bahawa media cetak mempunyai etika dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan mereka ini sering merujuk kepada fakta dan bukannya auta semata-mata. Berbanding dengan media sosial, saya melihatnya lebih kepada mengikut perasaan dalam memberikan maklum balas. Bukan merendahkan tahap pemikiran mereka tetapi ini sebenanya yang terjadi kebelakangan ini. Mereka tidak membaca sesuatu isu atau pekara berbangkit itu secara keseluruhan dan lebih bertindak menghukum dari melihatnya secara keseluruhan. Namun begitu, saya percaya tidak semua begitu.
Kritikan ke atas sesuatu isu berbangkit perlu dilihat secara keseluruhan. Memang pedih apabila sesuatu pekara yang mampu membawa perubahan sering dikritik. Namun, individu itu sendiri perlu yakin dengan apa yang ingin dibawanya dan bukannya takut dengan kritikan membuta-tuli masyarakat. Ada ketikanya segala kritikan dilihat lebih bersifat membenci dan mengeji. Jika dilihat dari aspek ini, kita perlu faham bahawa bukan mudah untuk kita memuaskan hati banyak pihak. Oleh sebab itu, kita perlu yakin bahawa sesuatu perkara yang ingin kita ketengahkan perlu ada keyakinan yang tinggi. Yakin dalam pekara yang kita tahu itu kepakaran kita lebih mudah untuk kita hadam berbanding sifat 'terlalu yakin' yang sering kita canang.
Banyak perkara perlu dilihat apabila sesuatu ungkapan itu dikeluarkan terutama sekali jika kita mengeluarkannya di media sosial. Pekara yang sepatutnya ingin dikongsi akan bertukar menjadi 'viral' dan kritikan dan akhir sekali menjadi satu kebencian kepada seseorang individu itu. Oleh yang demikian sebelum sesuatu pekara itu ingin dikongsikan, tanya diri sendiri adakah kita bersedia untuk dikritik atau dibenci supaya pada kemudian hari kita tidak berasa sakit hati.
Ada ketikanya, kita memerlukan kritikan baik dari segi positif mahupun negatif kerana melaluinya kita akan terus bergerak kehadapan. Tanpa kritikan-kritikan ini, kita hanya individu yang kosong tanpa arah.
No comments:
Post a Comment